(Am dan Anna)
Episode 1
Air. H20. Gabungan dua molekul hidrogen dan satu molekul oksigen. Binaannya mudah. Tidak kompleks dan memeningkan seperti bahan kimia yang lain. Hanya mengandungi dua elemen, gas hidrogen dan oksigen. Tetapi, mengapa hingga saat ini manusia belum mampu mencipta air? Di abad ke 20, manusia hanya boleh mempercepatkan proses kitar semula air melalui proses penyejatan dan kondensasi, dan menghalakan laluan awan ke kawasan-kawasan kering. Proses yang dinamakan pembenihan awan. Yang mungkin disalahertikan oleh sesetengah pihak sebagai penciptaan hujan oleh manusia. Tidak sama sekali. Bagi ilmuwan sains, mereka tahu bahawa manusia tak mampu melawan kuasa Tuhan dalam mencipta air hanya dari molekul hidrogen dan oksigen. Allahuakbar!
Air. Tanpanya jua tiadalah kehidupan. Dari sudut pandangan sejarah pula, zaman Mesopotamia bermula dari penempatan kecil di tebing sungai. Mesopotamia dalam bahasa Greek bermakna tanah di antara dua sungai. Iaitu sungai Tigris dan Euphrates yang mengalir dari pergunungan Turki ke lembah Iraq hingga ke Teluk Parsi. Dikelilingi pergunungan Zagros di timur laut, dataran tinggi Arab di barat daya dan teluk Paarsi di selatan. Kemudiannya berkembang menjadi sebuah tamadun terawal yang besar lagi berkuasa. Memperkenalkan sistem organisasi manusia yang terdiri daripada rakyat dan pemerintah, pengkhususan dari segi pertahanan, kewangan, pertanian, perniagaan, cukai dan sebagainya. Sebuah rangka kerajaan yang diadaptasi sehingga ke hari ini.
Air. Ianya juga tidak asing dalam Islam. Lambang sebuah ketenangan. Lambang sebuah kesucian. Lambang sebuah kehidupan yang kekal abadi. Sepertimana air yang tidak pernah mati. Terus-terusan mengalir dan berubah bentuk dari awan kepada hujan, kepada sungai kemudian laut, dan menjadi awan semula. Namun tidak sesekali hilang. Syurga dan air amatlah sinonim dalam Al-quran.
"Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh bagi mereka surga yang mengalir dibawahnya sungai-sungai, itulah keberuntungan yang besar" [Al-Buruj : 11]
Air. Mampukah aku menjadi sepertinya? Di saat usia menjangkau lewat remaja, aku sendiri tidak terlepas dari kesilapan….Peristiwa hitam itu masih menghantui hidupku. Berulang-ulang tayang seperti pita rakaman yang ditekan butang replay. Bunyi nafas kencang, perasaan takut, anggota tubuh yang kaku, semuanya masih kurasa. Seolah-olah peristiwa itu berlaku semalam. Walhal sudah hampir setahun berlalu…. Aku mengalihkan pandangan ke luar tingkap bilik. Tanpa sedar, mataku mula berkaca. Air jernih menitis jua…satu demi satu….kemudian mengalir deras persis sungai Nil….diiringi esakan yang tak terhenti……Ya Allah, betapa besarnya dosaku ini……..masihkah terbuka pintu taubat buatku?........
*********************************************************************
No comments:
Post a Comment